Apabila kita bercakap tentang kreatif sudah pastinya dibenak kita berkaitan dengan sesuatu yang baru, sesuatu yang lain dari yang lain. Hakikatnya kreatif itu ialah berkaitan dengan perkataan yang dikenali sebagai inovasi. Memperbaharui sesuatu yang telah ada supaya menjadi lebih baik lagi. Pemikiran kreatif pula dapat dikaitkan sebagai ilham atau inspirasi. Idea kreatif ini sudah pastinya datang secara tiba-tiba dan kita harus sketch atau catat pada mana-mana kertas agar apa yang terlintas di fikiran kita itu tidak hilang begitu sahaja.
Menurut kamus Webster’s (1976) pemikiran kreatif ialah, “The ability to bring something new existence”. Definisi ini memperlihatkan kreativiti itu adalah kebolehan mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali. Apabila direnung dan difikirkan secara mendalam, dapatkah manusia yang mempunyai sifat yang lemah mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali, iaitu daripada tiada kepada ada. Definisi ini seolah-olah melambangkan sesuatu tingkah laku dan pemikiran manusia yang hebat, dapat melakukan apa saja yang diinginkan. Malah, dalam keadaan kritikal sekalipun, manusia masih dapat membuktikan kemampuannya.
Kamus dewan (1993) memberikan maksud kreativiti sebagai kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif, kekreatifan. Terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan oleh pakar-pakar berhubung kreativiti. Mengikut Viktor Lowengfeld (1975), kreativiti ialah suatu naluri (instinct) semula jadi sejak lahir yang dimiliki oleh setiap orang. Naluri itu adalah faktor pertama digunakan bagi menyelesaikan atau membuat pernyataan tentang masalah kehidupan. Keinginan pula menjadi asas yang mendorong seseorang berupaya menyelidik dan meneroka sesuatu. Tanpa naluri dan keinginan, manusia tidak akan bertindak.
Gilchrist menyatakan, kreativiti adalah keupayaan menghasilkan sesuatu yang baru dan menilai sama ada maujud ataupun tidak. (Leonard Yong,1994). Manakala, Paul Torrance (1974) memberikan definisi kreativiti sebagai proses yang mana seseorang menjadi peka terhadap masalah kekurangan, jurang pengetahuan, unsur-unsur yang hilang, ketidakharmonian dan sebagainya; mengenal pasti perkara-perkara yang sukar, mencari penyelesaian, membuat tekaan atau membentuk hipotesis tentang kekurangan-kekurangan itu, menguji dan mengkaji semula hipotesis-hipotesis ini dan memungkinkan pengubahsuaian dan mengujinya semula dan akhir sekali menyalurkan keputusannya kepada orang lain (Leonard Yong,1994).
Bagi June King McFee pula, beliau berpendapat bahawa kreativiti adalah keupayaan mencipta perlambangan dan idea baru bagi memperkemaskini idea yang ada. Aktiviti menyusun dan mengolah semula organisasi yang sedia ada dan mantap kepada sesuatu organisasi yang baru dianggap sesuatu kreativiti.
Kajian Fryer dalam tahun 1989 (Fryer 1996) telah mendapat respons tentang maksud kreativiti. Antara maksud yang diberi ialah kreativiti adalah sesuatu yang asli, satu proses separa sedar, sesiapa sahaja boleh menjadi kreatif tetapi tidak semua orang kreatif, kreativiti melibatkan pemikiran dan khayalan dan kreativiti adalah kebolehan untuk melihat sesuatu dalam cara yang berbeza, untuk mencari kepuasan dalam membuat atau menghasilkan sesuatu dan memerlukan ketekunan sehingga terhasilnya suatu produk.
Viktor Lowenfeld dan Brittain (1982) menjelaskan, kreativiti berkait dengan suatu garis panduan atau prinsip yang perlu diikuti oleh seseorang iaitu menghasilkan atau memikirkan sesuatu yang baru, berbeza dan hasil yang unik, melalui proses pemikiran bercapah, motivasi yang tinggi, sentiasa mempunyai bentuk pemikiran yang terbuka, hasil yang tidak diduga, galakan memperkembangkan dan meningkatkan idea sendiri, kelainan, unik, individual dan keaslian, berlaku proses pemikiran kreatif, mementingkan proses dan bukan hasil, kekuatan pengetahuan dan kemahiran, keinginan meneroka sendiri, mampu mengkritik, menilai, idea dan subjek dimanipulasikan serta dikaji, teliti menggunakan langkah-langkah perkembangan kreatif : sumbang saran, penggunaan baru, adaptasi, modifikasi, magnifikasi, penyusunan semula, pengunduran, membuat penyenaraian dandimensi lain (analogi).
Edward De Bono (1992), menyatakan bahawa menjadi kreatif bermaksud mewujudkan sesuatu yang belum pernah ada iaitu sesuatu yang baru dan mempunyai nilai. Sesuatu hasil yang kreatif sepatutnya tidaklah mudah atau merupakan sesuatu yang biasa. Ianya mesti merupakan sesuatu yang unik dan jarang ditemui.
Dunn (1992), mengatakan bahawa kreativiti ialah keupayaan untuk menjana idea baru, melihat masalah dari sudut yang baru dan mengambil risiko dalam mencuba sesuatu yang tidak pernah dicuba sebelumnya. Kreativiti berkait rapat dengan pengetahuan, kemahiran asas dan pemikiran kritis dan ianya boleh difahamkan sebagai penggunaan pengetahuan dan maklumat dengan cara baru.
(Hassan, 1989) dan (Nik Azis, 1994); “Terminologi kreatif berasal daripada perkataan Latin ‘creare’ yang bermaksud ‘membuat’ (to make). Manakala dalam bahasa Greek pula, ‘Krainein’ yang membawa makna ‘memenuhi’. Dalam bahasa Inggeris ‘create’ atau ‘cipta’ dalam bahasa Melayu.”
Rikards (1990) sebagai, “Creativity involves escaping from stuckness and opening up possibilities.”
Malah menurut Leong (2000), sesetengah sarjana yang liberal mentafsirkan; “People who copy concepts and ideas,” sebagai memenuhi ciri-ciri kreatif. Ringkasnya, istilah kreatif dan kreativiti digunakan bagi menggambarkan produk sosial yang dihasilkan. Berdasarkan konsep kreativiti secara umum, dapat disimpulkan konsep pemikiran kreatif berkisar kepada entiti berikut: 1. Melakukan sesuatu dengan cara yang unik.
2. Seseorang itu dapat keluar daripada pola yang sama atau the pattern of sameness.
3. Berfikir di luar kotak atau thinking outside of the box.
4. Melihat sesuatu daripada perspektif baru.
5. Menggabungkan idea yang sedia ada kepada pembentukan idea baru.
6. Membuka minda dengan idea-idea baru.
7. Mencabar andaian.
8. Mencipta sesuatu yang baru.
9. Menghubungkan idea yang tidak berkaitan.
10. Menerbitkan idea besar kepada idea-idea kecil.
11. Berfikir secara fleksibel.
12. Penghasilan idea, penyelesaian, konsep dan produk yang asli (novel).
13. Membuat sintesis, imaginasi dan visualisasi
Leonardo da Vinci tergolong sebagai pelukis genius. Beliau di iktiraf sebagai pelukis,saintis dan inventor. Sebagai individu genius beliau memiliki lapan prinsip kreatif iaitu;
- Rasa ingin tahu yang mendalam
- Menguji pengetahuan melalui pengalaman, ketekunan dan sanggup belajar daripada kesilapan
- Menajamkan pancaindera secara terus menerus
- Kesediaan menerima perkara-perkara yang tidak pasti
- Mengembangkan keseimbangan ilmu dan seni, logik dan imaginasi, "otak kiri-otak kanan"
- Pemupukan keunggulan, kemahiran kedua belah tangan, kesegaran dan sikap tubuh yang betul
- Pengakuan dan penghargaan terhadap kaitan semua perkara
- Berfikir secara sistematik
No comments:
Post a Comment