Pages

Friday, March 4, 2011

SEJARAH SENI DI MALAYSIA (3)



Pelukis Malaysia pertama yang mengadakan pameran solo di seberang laut ialah Chuah Thean Teng yang diadakan di London pada tahun 1959. dan dipersembahkan oleh Majlis Kesenian Persekutuan. Catan batik eksotik yang dihasilkan sejak beliau membuka Yahong Gallery pada tahun 1955 telah meninggikan taraf batik daripada hasil pertukangan tangan kepada bentuk seni halus. Kejaan Chuan telah membawa seni Malaysia kepada seni antarabangsa. Seterusnya pelukis-pelukis batik yang lain seperti Khalil Ibrahim, Tay Mo Leong dan Toya turut menerima pengiktirafan antarabangsa.
Tahun 1960-an
Seni lukis aliran utama 1960-an adalah dengan nilai-nilai mistikal dan semesta telah menarik perhatian audien untuk menghayatinya kerana mempunyai kelainan. Dengan adanya tradisi seni khat telah membentuk satu pengucapan gambaran yang tersendiri. Lahir pandangan yang kritikal terhadap seni lukis. Pelbagai aktiviti dijalankan melalui saluran media massa. Antaranya ialah perbincangan, ceramah, syarahan, laporan, pameran dan sebagainya. Acara-acara seni lukis menjadi acara gemilang yang dihadiri oleh pelukis-pelukis, pencinta seni, ahli politik dan diplomat.
Special Teachers Training Institute (STTI) ditubuhkan pada tahun 1960 yang kemudiannya ditukar kepada Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK). Guru-guru yang berminat di bidang seni diberi peluang melanjutkan pelajaran melalui kursus sepenuh masa selama satu tahun. Mereka yang menunjukkan bakat besar dihantar untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Golongan pelukis-pelukis dan pendidik seni telah menjadi tenaga  utama seni lukis pada lewat tahun 1960an. Kakitangan akademik Jabatan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas seperti Syed Ahmad Jamal, Anthony Lau, Lee Joo For, Cheong Laitong, Jolly Koh dan lain-lain lagi memainkan peranan yang penting dalam seni lukis avant-garde di negara ini. Institusi Senilukis yang pertama ditubuhkan ialah Malayan Institut of Art pada tahun 1966. Institusi persendirian ini menawarkan kursus-kursus  diploma selama tiga tahun dalam bidang Fine Art, Commercial Art dan Interior Design di samping kursus-kursus sambilan.
Tahun 1967-an
Penubuhan Institut Teknologi Mara pada tahun 1967 telah melahirkan sekumpulan tenaga baru pendidik seni dan usahawan-usahawan Melayu dalam bidang seni tertentu. Ia menawarkan kursus diploma selama empat tahun dalam bidang Fine Arts (Painting and Sculpture), Graphics, Photography, Fine Metal, Pottery and Ceramics, Textiles, Fashion dan Industrial Design.
Tahun 1968-an
Kuala Lumpur College of Art telah ditubuhkan dalam tahun 1968 dengan menawarkan kursus diploma selama tiga tahun dalam bidang Painting, Sculpture, Ceramics, Chinese Brush Painting, Photography dan Commercial Art. Tahun 1970an
Tahun 1970-an
Awal tahun 1970an pensyarah-pensyarah Intitut Teknologi Mara telah mengambil alih tempat avant-garde. Mereka terdiri dari kumpulan ’New Scene’ seperti Redza Piyadasa, Sulaiman Haji Esa, Chong Kam Kow, Tan Teong Eng, Joseph Tan dan lain-lain lagi. Kumpulan ini telah mendebarkan keadaan seni lukis tempatan dengan ungkapan-ungkapan yang mencabar. Pendekatan gaya catan mereka yang berasaskan optik dan maklumat telah mengejutkan pelukis-pelukis tempatan dan masyarakat umum.
Pelukis-pelukis bukan sahaja berkarya dalam bidang minimal, pop, op dan lain-lain aliran semasa tetapi juga menyarankan seni melibatkan kepintaran, nilai-nilai mistika dan metafisika iaitu maklumat dan ilmu yang luar dari bidang catan. Catan hard-edge yang menegaskan kedataran dan tanpa isyarat yang dipelopori oleh Chong Kam Kow, Tan Teong Eng dan Tong Tuck telah mempunyai ikutan yang teguh di awal 1970-an.

SEJARAH SENI DI MALAYSIA (2)

Persatuan Seni Singapura mengadakan pameran-pameran dan aktiviti-aktiviti seni di dalam dan di luar negeri yang dibuka kepada semua pelukis tanpa mengira bangsa dan darjat. Walker, pelukis mahir aliran Impressionisme telah melatih beberapa pelukis terkemuka seperti Lim Cheng Hoe. Lim diiktiraf sebagai pelukis cat air yang terunggul di mana beliau juga memberi ilham serta menjadi mentor kepada golongan pelukis generasi ini. Lee Man Fong, pelukis penting dalam seni lukis Singapura berhijrah ke Singapura dari Indonesia pada tahun 1967. Dilahirkan di Kanton, China pada 1913, beliau berpindah ke Jakarta pada 1932 dan bekerja sebagai pelukis komersil. Pada tahun 1947, beliau mendapat biasiswa kerajaan Belanda untuk menuntut kesenian di negeri Belanda. Beliau seterusnya dilantik sebagai pelukis Istana Presiden oleh Presiden Sukarno.
Pada Disember, 1941 pendudukan jepun telah mengekang semua aktiviti kebudayaan. Kempeitai iaitu polis tentera Jepun telah mengawasi kumpulan-kumpulan kebudayaan China. Rekod-rekod dan bukti-bukti fotografik lawatan Kelab Seni Lukis China Pulau Pinang telah dibakar sebagai langkah berjaga-jaga. Pada tahun 1945 keseniang di Pulau Pinang telah dihidupkan semula dengan penubuhan Kumpulan Pendidik Seni Pulau Pinang di bawah Jabatan Pendidik Seni, Pulau Pinang. Pada tahun 1948, Tay hooi Keat menjadi warganegara Malaysia pertama yang pergi ke Britain untuk mempelajari seni lukis di Camberwell School of Art. Setelah perang tamat, pusat seni telah beralih dari Paris ke New York. Para pelukis Amerika Syarikat memulakan pergerakan seni seperti Action painting, Ekspressionisme abstrak, Seni Pop, Seni Op, Performance Art, Minimalisme, Seni Konseptual dan sebagainya. Pelukis-pelukis tempatan yang pergi ke luar negeri turut terdedah kepada pelbagai pengaruh aliran seni.
Selepas perang tamat, Pulau Pinang menjadi pusat daya tarikan para pelukis. Frank Sullivan, penaung seni yang terkenal telah menemui Mohd Hoessein Enas di Pulau Pinang pada tahun 1949 dan telah menggesa beliau berpindah ke Kuala Lumpur . Hoession seterusnya menubuhkan Angkatan Pelukis semenanjung dan menjadi tokoh seni kebangsaan yang terkenal. Tahun 1950an
Pada tahun 1952, Majlis Pendidik Seni Pulau Pinang telah ditubuhkan dan diterajui oleh Tay Hooi Keat sebagai pengerusi. Di antara ahli-ahlinya adalah Lee Joo For, Tan Tin Kok, Kim Tong Juan, Tan Lye Hoe dan Chee Wee Sun. Kebanyakan ahli-ahlinya terdiri guru-guru sekolah aliran Bahasa Inggeris. Tay Hooi Keat yang kembali ke Pulau Pinang dari United Kingdom memperkenalkan konsep-konsep baru yang memeranjatkan masyarakat seni lukis tempatan.
Pada tahun 1952 juga Cheong Soo Pieng, Chen Chong Swee, Chen Wen His dan Liu Kang berkunjung ke Bali. Sekembalinya dari Bali mereka mengelolakan pameran bertajuk ’Empat Pelukis Kembali’ yang menyebabkan penciptaan susuk tubuh badan yang dikaitkan dengan seniman Nanyang. Pameran ini telah mendorong ramai pelukis tempatan seperti Khaw Sia membuat lawatan melukis ke Bali. Seterusnya pada tahun 1952 juga, Majlis Kesenian ditubuhkan untuk memberi sokongan, menjaga dan menggiatkan aktiviti-aktiviti dalam pelbagai bidang seni dengan bantuan kerajaan.
Pada tahun 1953, Persatuan Seni Pulau Pinang ditubuhkan di bawah pimpinan Loh Cheng Chuan. Majlis Kesenian Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun yang sama dengan souter sebagai Presiden, Tay Hooi Keat sebagai setiausaha dan A Sabapathy sebagai bendahari dan juruaudit. Kedua-dua pertubuhan ini telah mengadakan pameran-pameran seni secara tetap untuk ahli-ahli mereka. Mereka menganjurkan pameran solo untuk para pelukis tempatan serta pelukis luar negara yang membuat lawatan. Wednesday Art Group telah ditubuhkan pada tahun 1952 di Kuala Lumpur oleh Peter Harris. Pada awalnya terdapat kekurangan kegiatan seni yang serius di Kuala Lumpur. Peter Harris merupakan Penguasa Seni di Kementerian Pendidikan dan beliau adalah lepasan sekolah seni di United Kingdom. Beliau memperkenalkan estetik dan teknik seni lukis moden kepada guru-guru dan pelukis muda tempatan yang berminat. Di antara pelukis-pelukis yang mendapat tunjuk ajar dan galakan beliau ialah Patrick Ng, Cheong Lai Tong, Zakariah Noor, Ismail Mustan, Dzulkifli Buyong, Ho Kai Peng, Liu Siat Mooi, Grace Selvanayagam, Phoon Poh Hoon, Jolly Koh dan Syed Ahmad Jamal.
Pada tahun 1954, Persatuan Seni Selangor telah diasaskan oleh ekspatriat dan ahli-ahli seperti Fung Yow Chork, Zakariah Noor, Yong Peng Seng, Chong Hooi Fah, Syed Zainal dan Chong Sing Kwai. Kumpulan ini  bertemu seminggu sekali pada hari Khamis di Sekolah Lelaki Methodist untuk membuat catan potret, figuratif, lukisan dan lakaran. Angkatan Pelukis Semenanjung iaitu APS yang kemudiannya dikenali sebagai Angkatan Pelukis Se Malaysia ditubuhkan di Kuala Lumpur pada tahun 1956 oleh Mohd Hossein Enas. APS bertujuan untuk mengumpul serta menyatupadukan pelukis-pelukis Melayu. Ahli-ahlinya telah mencontohi penasihat mereka, Mohd Hoessein Enas yang terkenal kerana potret realistik dalam cat minyak dan pastel. Antara yang terkenal dalam persatuan ini ialah Idris Salam, Mohd Sallehuddin, Sabtu Mohd Yusof, Mazli Mat Som, Ahmad Hassan, Yusof Abdullah dan Zakariah Noor.
Pada tahun 1957, Thursday Art Group telah ditubuhkan di Pulau Pinang dengan matlamat yang sama dengan Wednesday Art Group. Ahli-ahli terdiri daripada Abdullah Ariff, Tay hooi Keat, Kuo Ju Ping, Lee Joo For, Lim Tong Juan dan William K.K. Lau. Mereka memperkenalkan konsep-konsep baru, mengadakan kelas-kelas melukis, sesi perbincangan dan pameran. Menjelang kemerdekaan seni telah menjadi salah satu simbol kepada perpaduan kaum di Malaysia. Persepsi masyarakat terhadap seni telah mula berubah. Seni daripada taraf rendah (kedaerahan) meningkat ke peringkat antarabangsa.
Pada tahun 1957 Frank Sullivan telah dilantik sebagai setiausaha akhbar kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaya yang pertama. Ini membawa kesan yang mendalam dalam perkembangan seni Malaysia kerana usaha-usaha Sullivan yang bersungguh-sungguh untuk memperkenalkan para pelukis tempatan serta karya-karya mereka. Balai Seni Lukis Negara di 109, Jalan Ampang telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada 27 Ogos 1958. Pameran pembukaan telah memaparkan karya-karya Chen Wen His, Cheong Lai Tong, Chuah Thean Teng, Mohd Hoessein Enas, Nik Zainal Abidin, Peter Harris, Patrick Ng, Syed Ahmad Jamal, Tay Hooi Keat dan Yong Mun Sen.
Selain Frank Sullivan yang menjadi setiausaha selama sepuluh tahun, antara yang telah membangunkan Balai Seni Lukis Negara adalah Tan Sri Mubin Sheppard, Tan Sri Ghazali Shafie, Tan Sri Dato’ Azman Hashim, Tan Sri Kamarul Ariffin, Tan Sri Zain Azraii, Professor Ungku Aziz, Puan P.G. Lim dan ramai lagi. Balai Seni Lukis Negara memperolehi koleksi tetapnya secara beransur-ansur. Dua koleksi yang menarik ialah gambar foto burung Dato’ Loke Wan Tho dan Koleksi hasil-hasil kaligrafi dinasti Sung yang didermakan oleh Lee Kah Yeow bernilai 2 juta ringgit.

SEJARAH SENI DI MALAYSIA (1)


Sejarah Awal Seni Visual

Kepercayaan bahawa pengembara- pengembara Eropah dan Inggeris telah meminta pelukis-pelukis negeri-negeri Selat yang berketurunan Cina atau Melayu untuk melukis gambaran kehidupan tempatan yang bermotifkan flora dan fauna. Ini disebabkan oleh minat mereka atau sebagai rekod sejarah. Lukisan-lukisan dan catan-catan tersebut banyak ditempah oleh pegawai-pegawai Syarikat Hindia Timur yang ditempatkan di  Malaya.
Pihak Inggeris telah memperkenalkan genre lukisan/ catan lanskap dalam aliran Realisme, zaman Pre-Raphelites, Turner dan Constable. Ini telah berterusan sehingga abad ke 19 apabila Seni Eropah terutamanya  Seni Perancis mula memberi kesannya kepada seluruh rantau dengan pergerakan-pergerakan seni seperti aliran Impresionisme, Kubisme, Surealisme, Futurisme dan Konstruktivisme.
Sumbangan golongan Cina kepada perkembangan seni Malaysia dan Singapura berpunca daripada pendatang dan pelawat Cina seperti Xu Beihong yang telah bermastautin di Pulau Pinang untuk beberapa tahun. Mereka juga telah berkunjung ke Singapura untuk sesuatu jangka masa. Mereka telah menerima pendidikan dalam lukisan berus Cina dan kaligrafi di China.
Pada mulanya penghijrah-penghijrah awal dari China adalah untuk mencari sara hidup. Seni halus tidak pernah difikirkan . Hanya selepas mereka bertapak kukuh dan berjaya dalam kehidupan, barulah terdapat beberapa penghijrahan berdasarkan kretiviti artistik mereka. Terdapat yang terlibat dalam pendidikan Seni dan ada pula yang menjadi pelukis amatur. Antara yang berjaya dalam bidang seni ialah Lee Kah Yeow, Wang Yau, Reverend Chuk Mor, Reverend Pak Yuen, Chai Horng, Chung Hong Kong dan Zhen Wei Sin. Kesimpulannya pada awal tahu 1920an terdapat pelukis yang mempamerkan hasil karyanya. Pameran seni lukis yang terawal di singapura ialah pameran Lian Xiao Oh pada tahun 1924. Disusuli pula dengan pameran pastel He Qui Qo pada tahun 1926.
Aktiviti-aktiviti seni yang awal di Pulau Pinang bermula apabila pengasasan Pulau Pinang pada tahun 1786 oleh Sir Francis Light di bawah Syarikat Hindia timur. Pelukis-pelukis Inggeris yang tinggal di Pulau Pinang gemar melukis pemandangan laut dan keindahan alam semulajadi pulau itu. Kemungkinan terdapat pelukis tempatan yang membekalkan lukisan-lukisan kepada para penaung Syarikat Peniagaan Eropah.
Perkembangan seni lukis moden boleh dikesan sehingga tanuh 1920an semasa kumpulan penang Impressionist ditubuhkan. Kumpulan ini terdiri daripada ekspatriat Eropah yang kebanyakannya merupakan surirumah bangsa Inggeris. Disebabkan sikap-sikap kolonialistik pada masa itu, pelukis-pelukis tempatan Pulau Pinang tidak dibenarkan menyertai Penang Impressionist. Dua orang pelukis tempatan yang diterima menganggotainya ialah Puan Lim Cheng Kung dan Abullah Ariff. Abdullah Arif diterima dalam kumpulan itu kerana perkhidmatan beliau sebagai pendidik seni diperlukan, manakala Puan Lim pula isteri seorang jutawan yang dapat memberi sokongan kewangan.
Tahun 1920-an merupakan peringkat yang penting dalam sejarah seni lukis Pulau Pinang. Yong Mun Seng telah datang ke Pulau Pinang dari Singapura dan mendirikan studio seninya. Pelukis pertama yang mengadakan pameran seni lukis di Malaysia adalah Ooi Hwa yang telah mempamerkan karya-karyanya di Pulau Pinang pada tahun 1927. Ooi Hwa dan Lee Cheng Yong mungkin merupakan pelukis pertama yang pergi ke luar negeri untuk mempelajari seni di Akademi Seni Halus Shanghai. SITC (Sultan Idris Training College) ditubuhkan pada tahun 1922. Mata pelajaran Pendidikan Seni diajar di samping subjek-subjek lain. Komponen subjek Pendidikan Seni diajar bersama-sama dengan pertukangan tangan seperti membuat bakul dan lain-lain seni pertukangan rakyat ketika itu.
Sukatan Pelajaran yang digunakan adalah pelajaran menggunakan mengkuang untuk membuat bakul bagi tahun pertama. Mereka dikehendaki mencipta corak-corak baru dengan menggunakan rotan dan buluh. Kerja-kerja tahun pertama disambung pada tahun ke dua dan penggunaan rotan dan buluh adalah lebih meluas lagi pada tahun ke tiga. Buku teks yang digunakan ialah ’Kitab Rajah-rajah Anyaman’ oleh guru anyaman Mr. W. Olaguera.
Penuntut-penuntut diberi pilihan untuk pertukangan kayu bagi melatih membuat perabot-perabot seperti meja kecil, almari buku, tongkat dan sebagainya. Dalam tempoh tiga tahun terdapat enam kelas pertukangan kayu. Pilihan seterusnya adalah menjilid buku di mana hanya sebahagian kecil penuntut tahun tiga sahaja yang mengikutinya. Menganyam jaring bagi permainan bola sepak, hoki dan bola tampar. Pertukangan tanah liat di mana hanya sebilangan penuntut sahaja dipilih untuk belajar membuat tempat bunga, periuk dan lain-lain daripada tanah liat.
Pada tahun 1935, sekumpulan pelukis di Singapura merupakan penuntut Sekolah Seni Halus Shanghai, Sekolah Seni Shanghai dan Universiti. Mereka telah menubuhkan Salon Art Studies Society yang kemudiannya ditukar kepada Persatuan Pelukis-pelukis Cina.
Persatuan ini menumpukan perhatian kepada perlaksaan pameran karya-karya pelukis asing, terutamanya karya pelukis-pelukis HongKong dan Cina. Pelukis tempatan turut diberi peluang untuk meluaskan pengalaman. Pameran tahunan mereka telah menjadi tradisi berterusan tanpa sebarang sekatan melainkan pada tahun-tahun peperangan 1942 hingga 1945. Ramai ahlinya merupakan staf Akademi Seni Halus Nanyang.
Akademi Seni Halus Nanyang diasaskan pada tahun 1938 oleh pengetuanya, Lim Hak Tai. Lim Hak Tai, seorang pelukis ternama dan berwawasan memperkembangkan kesenian dengan menubuhkan institusi yang pertama dan paling lama di Singapura. Di antara pelukis-pelukis terkenal yang menjadi tenaga pengajar ialah Cheong Soo pieng, Georgette Chen Li Ying, Chen Wen His dan Chen Chong Swee. Para pelukis ini telah datang ke Singapura selepas Perang Dunia ke Dua. Mereka dilatih di akademi-akademi Seni di Shanghai, kanton dan Amoy. Mereka juga didedahkan kepada pengaruh modenis aliran-aliran di Paris.
Pelukis-pelukis Nanyang memainkan peranan yang besar dalam perkembangan tradisi seni moden di Malaysia dan Singapura melalui aktiviti-aktiviti mereka. Mereka terkenal kerana menggabungkan konsep Barat dan Timur dalam hasil karya mereka, yang kemudiannya dikenali sebagai Nanyang. Apabila Cheng Yong kembali pada tahun 1932, beliau mengadakan pameran solo di Philomatic Union, Acheen Street. Pameran ini telah memberi kesedaran kepada pelukis-pelukis tempatan yang telah melukis bersendirian dan tidak sedar akan kewujudan pelukis-pelukis lain.
Pada tahun 1936, pelukis-pelukis Cina telah berkumpul di bawah pengaruh Yong Mun Sen, dan menubuhkan Kelab Seni Lukis Cina Pulau Pinang. Di antara pengasas kelab ini termasuklah Lee Cheng Yong sebagai Presiden, Yong Mun Seng sebagai Timbalan Presiden, Quan Kuan Sin sebagai setiausaha, Tay Hooi keat sebagai bendahari dan Kuo Ju Ping, Tan Seng Aun, Tan Gek Khean serta Wan Fee sebagai ahli jawatan kuasa. Mereka telah mengadakan Pameran seni dan Fotografi yang pertama. Kebanyakan karya yang dipamerkan adalah mengikut aliran Realisme Barat dan Post Impressionism di samping beberapa lukisan berus Cina tradisional. Pelukis-pelukis di seluruh Malaysia dan singapura telah diundang untuk menjayakan pameran ini. Pada tahun 1937, kumpulan Penang Impressionist yang mengadakan pameran tahunan secara tetap, telah menjemput ahli-ahli Kelab Seni Lukis Cina pulau Pinang. Jemputan ini amat menggalakkan pelukis-pelukis tempatan memberi sumbangan yang positif. Pameran ini merupakan pameran terakhir Penang Impressionist sebelum dibubarkan sebelum bermulanya Perang dunia Kedua. Kebanyakan ahlinya yang aktif telah pulang ke Eropah atau pun telah dipindahkan.
Kelab Seni Lukis Cina Pulau Pinang telah mengadakan dua atau tiga lagi pameran di bawah pimpinan Lim Cheng Ean (ayah P.G. Lim dan Lim Kean Siew, pengumpul karya seni) dan seterusnya dipimpin oleh Ong Keng Seng. Ketika peperangan, aktiviti-aktiviti pertubuhan terpaksa diberhentikan untuk sementara waktu kerana kawalan keselamatan yang dikenakan di kawasan desa dan pantai. Akhirnya, pertubuhan ini dibubarkan sebelum kemaraan jepun pada tahun 1941. Pada tahun 1949, persatuan seni Singapura telah ditubuhkan oleh beberapa ekspatriat seperti Dr. Gibson-Hill yang mengetuai Raffles Museum and Library, Richard Walker yang merupakan pengetua Seni Sekolah-sekolah Singapura, Francis Thomas iaitu guru Sekolah St Andrews, Suri Mohgani iaitu pelukis tempatan dan Liu Kang yang juga Presiden persatuan tersebut. Walau pun Liu Kang bukan seorang guru seni beliau disanjung tinggi sebagai pelukis yang cekap dan penglibatan aktifnya dalam Persatuan Pelukis Cina dan Persatuan Seni Singapura.

Monday, February 28, 2011

APA ITU KREATIF?


Apabila kita bercakap tentang kreatif sudah pastinya dibenak kita berkaitan dengan sesuatu yang baru, sesuatu yang lain dari yang lain. Hakikatnya kreatif itu ialah berkaitan dengan perkataan yang dikenali sebagai inovasi. Memperbaharui sesuatu yang telah ada supaya menjadi lebih baik lagi. Pemikiran kreatif pula dapat dikaitkan sebagai ilham atau inspirasi. Idea kreatif ini sudah pastinya datang secara tiba-tiba dan kita harus sketch atau catat pada mana-mana kertas agar apa yang terlintas di fikiran kita itu tidak hilang begitu sahaja.

Menurut kamus Webster’s (1976) pemikiran kreatif ialah, “The ability to bring something new existence”. Definisi ini memperlihatkan kreativiti itu adalah kebolehan mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali. Apabila direnung dan difikirkan secara mendalam, dapatkah manusia yang mempunyai sifat yang lemah mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali, iaitu daripada tiada kepada ada. Definisi ini seolah-olah melambangkan sesuatu tingkah laku dan pemikiran manusia yang hebat, dapat melakukan apa saja yang diinginkan. Malah, dalam keadaan kritikal sekalipun, manusia masih dapat membuktikan kemampuannya.

 Kamus dewan (1993) memberikan maksud kreativiti sebagai kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif, kekreatifan. Terdapat beberapa pendapat yang dikemukakan oleh pakar-pakar berhubung kreativiti. Mengikut Viktor Lowengfeld (1975), kreativiti ialah suatu naluri (instinct) semula jadi sejak lahir yang dimiliki oleh setiap orang. Naluri itu adalah faktor pertama digunakan bagi menyelesaikan atau membuat pernyataan tentang masalah kehidupan. Keinginan pula menjadi asas yang mendorong seseorang berupaya menyelidik dan meneroka sesuatu. Tanpa naluri dan keinginan, manusia tidak akan bertindak.

Gilchrist menyatakan, kreativiti adalah keupayaan menghasilkan sesuatu yang baru dan menilai sama ada maujud ataupun tidak. (Leonard Yong,1994). Manakala, Paul Torrance (1974) memberikan definisi kreativiti sebagai proses yang mana seseorang menjadi peka terhadap masalah kekurangan, jurang pengetahuan, unsur-unsur yang hilang, ketidakharmonian dan sebagainya; mengenal pasti perkara-perkara yang sukar, mencari penyelesaian, membuat tekaan atau membentuk hipotesis tentang kekurangan-kekurangan itu, menguji dan mengkaji semula hipotesis-hipotesis ini dan memungkinkan pengubahsuaian dan mengujinya semula dan akhir sekali menyalurkan keputusannya kepada orang lain (Leonard Yong,1994).

 Bagi June King McFee pula, beliau berpendapat bahawa kreativiti adalah keupayaan mencipta perlambangan dan idea baru bagi memperkemaskini idea yang ada. Aktiviti menyusun dan mengolah semula organisasi yang sedia ada dan mantap kepada sesuatu organisasi yang baru dianggap sesuatu kreativiti.
Kajian Fryer dalam tahun 1989 (Fryer 1996) telah mendapat respons tentang maksud kreativiti. Antara maksud yang diberi ialah kreativiti adalah sesuatu yang asli, satu proses separa sedar, sesiapa sahaja boleh menjadi kreatif tetapi tidak semua orang kreatif, kreativiti melibatkan pemikiran dan khayalan dan kreativiti adalah kebolehan untuk melihat sesuatu dalam cara yang berbeza, untuk mencari kepuasan dalam membuat atau menghasilkan sesuatu dan memerlukan ketekunan sehingga terhasilnya suatu produk.

Viktor Lowenfeld dan Brittain (1982) menjelaskan, kreativiti berkait dengan suatu garis panduan atau prinsip yang perlu diikuti oleh seseorang iaitu menghasilkan atau memikirkan sesuatu yang baru, berbeza dan hasil yang unik, melalui proses pemikiran bercapah, motivasi yang tinggi, sentiasa mempunyai bentuk pemikiran yang terbuka, hasil yang tidak diduga, galakan memperkembangkan dan meningkatkan idea sendiri, kelainan, unik, individual dan keaslian, berlaku proses pemikiran kreatif, mementingkan proses dan bukan hasil, kekuatan pengetahuan dan kemahiran, keinginan meneroka sendiri, mampu mengkritik, menilai, idea dan subjek dimanipulasikan serta dikaji, teliti menggunakan langkah-langkah perkembangan kreatif : sumbang saran, penggunaan baru, adaptasi, modifikasi, magnifikasi, penyusunan semula, pengunduran, membuat penyenaraian dandimensi lain (analogi).

 Edward De Bono (1992), menyatakan bahawa menjadi kreatif bermaksud mewujudkan sesuatu yang belum pernah ada iaitu sesuatu yang baru dan mempunyai nilai. Sesuatu hasil yang kreatif sepatutnya tidaklah mudah atau merupakan sesuatu yang biasa. Ianya mesti merupakan sesuatu yang unik dan jarang ditemui.

 Dunn (1992), mengatakan bahawa kreativiti ialah keupayaan untuk menjana idea baru, melihat masalah dari sudut yang baru dan mengambil risiko dalam mencuba sesuatu yang tidak pernah dicuba sebelumnya. Kreativiti berkait rapat dengan pengetahuan, kemahiran asas dan pemikiran kritis dan ianya boleh difahamkan sebagai penggunaan pengetahuan dan maklumat dengan cara baru.
(Hassan, 1989) dan (Nik Azis, 1994); “Terminologi kreatif berasal daripada perkataan Latin ‘creare’ yang bermaksud ‘membuat’ (to make). Manakala dalam bahasa Greek pula, ‘Krainein’ yang membawa makna ‘memenuhi’. Dalam bahasa Inggeris ‘create’ atau ‘cipta’ dalam bahasa Melayu.”

Rikards (1990) sebagai, “Creativity involves escaping from stuckness and opening up possibilities.”

Malah menurut Leong (2000), sesetengah sarjana yang liberal mentafsirkan; “People who copy concepts and ideas,” sebagai memenuhi ciri-ciri kreatif. Ringkasnya, istilah kreatif dan kreativiti digunakan bagi menggambarkan produk sosial yang dihasilkan. Berdasarkan konsep kreativiti secara umum, dapat disimpulkan konsep pemikiran kreatif berkisar kepada entiti berikut: 1. Melakukan sesuatu dengan cara yang unik.
2. Seseorang itu dapat keluar daripada pola yang sama atau the pattern of sameness.
3. Berfikir di luar kotak atau thinking outside of the box.
4. Melihat sesuatu daripada perspektif baru.
5. Menggabungkan idea yang sedia ada kepada pembentukan idea baru.
6. Membuka minda dengan idea-idea baru.
7. Mencabar andaian.
8. Mencipta sesuatu yang baru.
9. Menghubungkan idea yang tidak berkaitan.
10. Menerbitkan idea besar kepada idea-idea kecil.
11. Berfikir secara fleksibel.
12. Penghasilan idea, penyelesaian, konsep dan produk yang asli (novel).
13. Membuat sintesis, imaginasi dan visualisasi

Leonardo da Vinci tergolong sebagai pelukis genius. Beliau di iktiraf sebagai pelukis,saintis dan inventor. Sebagai individu genius beliau memiliki lapan prinsip kreatif iaitu;
  • Rasa ingin tahu yang mendalam 
  •  Menguji pengetahuan melalui pengalaman, ketekunan dan sanggup belajar daripada kesilapan
  • Menajamkan pancaindera secara terus menerus
  • Kesediaan menerima perkara-perkara yang tidak pasti
  • Mengembangkan keseimbangan ilmu dan seni, logik dan imaginasi, "otak kiri-otak kanan"
  • Pemupukan keunggulan, kemahiran kedua belah tangan, kesegaran dan sikap tubuh yang betul
  • Pengakuan dan penghargaan terhadap kaitan semua perkara
  • Berfikir secara sistematik

Sunday, February 27, 2011

SENI ISLAM

Pengenalan
Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah swt kepada seluruh manusia tanpa mengenal bangsa yang bersumberkan al-Quran, Sunnah dan Ijma' Ulama. Islam adalah agama yang nyata (waqi'e) dan sesuai dengan fitrah manusia, pada semua tempat, zaman dan situasi menepati citarasa, kehendak, sifat, keinginan, nafsu, perasaan dan akal fikiran manusia. Dalam jiwa, perasaan, nurani dan keinginan manusia terbenamnya rasa sukakan keindahan dan keindahan itu adalah seni. Seni adalah sesuatu yang bersifat abstrak, dapat dipandang, didengar dan disentuh oleh jiwa tetapi tidak dapat dinyatakan melalui kata-kata dan bahasa. Sukar untuk mentakrifkan seni secara tepat sesukar untuk menerangkan konsep keindahan dan kesenangan itu sendiri. Al-Farabi menjelaskan seni sebagai ciptaan yang berbentuk keindahan, Al-Ghazali pula menjelaskan seni dengan maksud kerja yang berkaitan dengan rasa jiwa manusia yang sesuai dengan fitrahnya.
Mengikut kebudayaan Barat, seni sebenarnya tiada hubungan dengan agama. Ini adalah disebabkan oleh dasar sekularisme yang mengasingkan hal keduniaan dengan agama. Walau bagaimanapun seni masih dianggap sebagai sesuatu yang ideal dan berkaitan dengan moral. Seni juga boleh dibahagi dengan dua tujuan iaitu seni untuk seni dan seni untuk masyarakat, di mana seni untuk seni adalah bertujuan untuk seni sahaja dan orang mencipta seni ini dibebaskan untuk apa-apa tujuan sama ada mengandungi unsur baik atau jahat. Manakala seni untuk masyarakat pula  menyatakan bahawa seni dicipta untuk sesuatu tujuan maka ianya mestilah difahami oleh masyarakat yang digunakan untuk kemasyarakatan, politik dan akhlak.
Eugene Johnson dalam 'The Encyclopedia Americana' menjelaskan seni (art) sebagai kemahiran, misalnya seni pertukangan yang membawa erti kemahiran pertukangan. Dari segi istilah ilmu berkebudayaan, ia membawa erti sebagai segala sesuatu yang indah. Keindahan yang dapat menggerakkan jiwa, kemesraan, menimbulkan keharuan, ketakjuban, kesenangan atau sebaliknya iaitu dendam, benci, cemas dan sebagainya. Drs. Sidi Gazalba dalam bukunya 'Pandangan Islam Tentang Kesenian' menjelaskan bahawa kesenian adalah sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok manusia kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai fitrah semulajadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati melalui pancaindera yang lima. Justeru itu, manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cinta kepada sesuatu yang selamat, memuaskan dan memberi kepuasan melalui pancaindera. Seni secara ringkasnya dapat dibahagikan kepada empat bahagian utama :
  • Seni melaui pendengaran seperti muzik, deklamasi puisi, prosa, senia suara dan sebagainya.
  • Seni yang diperolehi melalui penglihatan mata seperti seni lukis, seni hias, seni bina, seni pakaian dan sebagainya.
  • Seni yang dapat diperolehi melalui pendengaran dan penglihatan seperti drama, tablo, teater, filem dan sebagainya.
  • Seni yang dinikmati melalui pembacaan seperti hasil karya sastera yang berbentuk puisi dan prosa.

Konsep Seni Menurut Perspektif Islam 
Seni Islam merupakan sebahagian daripada kebudayaan Islam dan perbezaan antara seni Islam dengan bukan Islam ialah dari segi niat atau tujuan dan nilai akhlak yang terkandung dalam hasil seni Islam. Pencapaian yang dibuat oleh seni Islam itu juga merupakan sumbangan daripada tamadun Islam di mana tujuan seni Islam ini adalah kerana Allah swt. Walaupun seni merupakan salah satu unsur yang disumbangkan tetapi Allah melarang penciptaan seni yang melampaui batas. Firman Allah swt yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas."
Keindahan merupakan salah satu ciri keesaan, kebesaran dan kesempurnaan Allah swt lantas segala yang diciptakanNya juga merupakan pancaran keindahanNya. Manusia dijadikan sebagai makhluk yang paling indah dan paling sempurna. Bumi yang merupakan tempat manusia itu ditempatkan juga dihiasi dengan segala keindahan. Allah swt bukan sekadar menjadikan manusia sebagai makhluk yang terindah tetapi juga mempunyai naluri yang cintakan keindahan. Di sinilah letaknya keistimewaan manusia yang tidak dimiliki oleh makhluk lain sama ada malaikat, jin dan haiwan. Konsep kesenian dan kebudayaan dalam Islam berbeza dengan peradaban Islam yang lain.
Dalam pembangunan seni, kerangka dasarnya mestilah menyeluruh dan meliputi aspek-aspek akhlak, iman, matlamat keagamaan dan falsafah kehidupan manusia. Seni mestilah merupakan satu proses pendidikan yang bersifat positif mengikut kaca mata Islam, menggerakkan semangat, memimpin batin dan membangunkan akhlak. Ertinya seni mestilah bersifat "Al-Amar bil Ma'ruf dan An-Nahy 'an Munkar" (menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran) serta membangunkan akhlak masyarakat, bukan membawa kemungkaran dan juga bukan sebagai perosak akhlak ummah. Semua aktiviti kesenian manusia mesti ditundukkan kepada tujuan terakhir (keredhaan Allah dan ketaqwaan). Semua nilai mestilah ditundukkan dalam hubunganNya serta kesanggupan berserah diri. Seni juga seharusnya menjadi alat untuk meningkatkan ketaqwaan.


Prinsip-prinsip (ciri-ciri) Kesenian Islam
1. Mengangkat martabat insan dengan tidak meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan dan nilai-nilai persekitaran dan sejagat. Alam sekitar galerinya, manakala manusia menjadi seniman yang menggarap segala unsur kesenian untuk tunduk serta patuh kepada keredhaan Allah swt.
2. Mementingkan persoalan akhlak dan kebenaran yang menyentuh aspek-aspek estetika, kemanusiaan, moral dan lain-lain lagi.
3. Kesenian Islam menghubungkan keindahan sebagai nilai yang tergantung kepada keseluruhan kesahihan Islam itu sendiri. Menurut Islam, kesenian yang mempunyai nilai tertinggi ialah yang mendorong ke arah ketaqwaan, kema'rufan, kesahihan dan budi yang mantap.
4. Kesenian Islam terpancar daripada wahyu Allah, sama seperti undang-undang Allah dan SyariatNya. Maknanya ia harus berada di bawah lingkungan dan peraturan wahyu. Ini yang membezakan kesenian Islam dengan kesenian bukan Islam.
5. Kesenian Islam menghubungkan manusia dengan tuhan, alam sekitar dan sesama manusia dan juga makhluk.
Islam tidak pernah menolak kesenian selagi dan selama mana kesenian itu bersifat seni untuk masyarakat dan bukannya seni untuk seni. Terdapat lima hukum dalam seni jika diperincikan. Antaranya:
(a) Wajib : Jika kesenian itu amat diperlukan oleh muslim yang mana tanpanya individu tersebut boleh jatuh mudarat seperti keperluan manusia untuk membina dan mencantikkan reka bentuk binaan masjid serta seni taman (landskap) bagi maksud menarik orang ramai untuk mengunjungi rumah Allah swt tersebut.
(b) Sunat : Jika kesenian itu diperlukan untuk membantu atau menaikkan semangat penyatuan umat Islam seperti dalam nasyid, qasidah dan selawat kepada Rasulullah saw yang diucapkan beramai-ramai dalam sambutan Maulidur Rasul atau seni lagu (tarannum) al-Quran.
(c) Makruh : Jika kesenian itu membawa unsur yang sia-sia (lagha) seperti karya seni yang tidak diperlukan oleh manusia.
(d) Haram : Jika kesenian itu berbentuk hiburan yang :
  • Melekakan manusia sehingga mengabaikan kewajipan-kewajipan yang berupa tanggungjawab asas terhadap Allah swt khasnya seperti ibadah dalam fardhu ain dan kifayah.
  • Memberi khayalan kepada manusia sehingga tidak dapat membezakan antara yang hak (betul) dan yang batil (salah).
  • Dicampuri dengan benda-benda haram seperti arak, judi, dadah dan pelbagai kemaksiatan yang lain.
  • Ada percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti pergaulan bebas tanpa batas dalam bentuk bersuka-suka yang melampau. 
  • Objek atau arca dalam bentuk ukiran yang menyerupai patung sama ada dibuat daripada kayu, batu dan lain-lain.
  • Disertai dengan peralatan muzik yang diharamkan oleh Islam seperti alat-alat tiupan, bertali, tabuhan yang bertutup di bahagian atas dan bawah serta alat-alat muzik dari tekanan jari. Sesetengah  ulama mengatakan harus hukumnya jika digunakan untuk pendidikan dan tidak menarik kepada konsep al-Malahi (hiburan yang keterlaluan) juga alat-alat muzik di atas boleh digunakan untuk tujuan dakwah Islamiyyah, seperti yang pernah dibuat oleh Rabiatul Adawiyyah.
  • Seni yang merosakkan akhlak dan memudaratkan individu atau yang berbentuk tidak bermoral seperti tarian terkini (kontemporari).
  • Jenis-jenis seni yang dipertontonkan bagi maksud atau niat yang menunjuk-nunjuk dan kesombongan.
(e) Harus : Apa saja bentuk seni yang tidak ada nas yang mengharamkannya.

Matlamat Kesenian 
Dalam Islam, seni tidaklah bermatlamatkan hiburan, tujuan keduaniaan ataupun keseronokan. Islam telah menggariskan kesenian sesuai mengikut naluri dan fitrah semulajadi manusia. Sewajarnyalah juga manusia mengemudi seni mengikut fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan sempadan syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia manusia. Bahkan sekiranya betul pembawaan seni itu, ia dikira ibadah pula. Alangkah ruginya manusia Muslim yang tidak tahu bagaimama untuk membawa kecenderungan makhluk sejenisnya ke arah ketaqwaan kepada Allah swt. Seni Islam dibentuk untuk melahirkan seseorang yang benar-benar baik dan beradab.
Konsep seni Islam dan pembawaannya haruslah menjurus ke arah konsep tauhid dan pengabdian kepada Allah swt. Motif berseni haruslah bermatlamatkan perkara-perkara ma'ruf (kebaikan), halal dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah swt. Fungsi seni tidak kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaanNya.
Seni dalam Islam menanam rasa khusyu' ke pada Allah di samping memberi ketenangan di jiwa manusia sebagai makhluk Allah yang diciptakan dengan fitrah yang gemar kepada kesenian dan keindahan. Oleh sebab itu seni dalam Islam tidak berslogan 'seni untuk seni' tetapi 'seni kerana Allah untuk manusia, makhluk dan alam sekitar'. Kesenian Islam terpancar daripada tauhid yang merupakan satu penerimaan dan penyaksian terhadap keesaan Allah swt maka seni yang berpaksikan tauhid dapat menanamkan sifat bertaqwa dan beriman. Seni juga dapat meningkatkan daya intelek dan bukan sahaja emosi.

Seni  lukisan dan Arca ( Ukiran)
Seni lukisan dan arca juga dkenali sebagai seni halus. Pelbagai barang seni yang dihasilkan untuk perhiasan yang diperbuat dari emas, pohon dan batu mahal dan ukiran eni halus inijuga terdapat pada perabut rumah, piring, kuli buku, jubin, tembikar, daun pintu, makam, gading dan lain-lain. Seni halus ini juga terdapat pada objek-objek seperti berikut antaranya ukiran kayu dan logam yang banyak diperolehi pada zaman kerajaan Fatimiyah. Logam yang dipilih biasanya bewarna emas, perak dan tembaga contohnya pada mata wang syiling, cerek, bekas air, buyung, tungku dan topi besi perang. Begitu juga seni seramik yang juga terdapat pada piring dan tembikar manakala seni sulaman dibuat dalam bentuk kain seperti kain penghias dinding, tikar permaidani, sejadah, barang-barang tenunan sutera dan sebagainya. Seni hias pula biasanya berbentuk seperti kerawag, lampu dan bentuk-bentuk geometri pada kubah dan lain-lain.
Seni lukis ula bermula pada zaman khalifah Muawiyah di Damsyik dan ia biasnya tertera pada helaian-helaian safhah a-Quran yang dihiasi dengan corak lukisan bunga dan gambar berbentuk araesque dengan pilihan warna emas, buku-buku sejarah yang dihiasi dengan gambar-gambar warna yang cantik seperti kitab al-Tarikh Syahnama dan buku hikayat alfun alLaial dan buku-buku cerita. Seni lukis Islam biasanya terhad kepada lukisan keindahan alam dan tidak termasuk benda-benda bernyawa yan boleh menjadi pujaan seperti haiwan, dewa atau patung.

Seni binaan.
Satu lagi seni Islam ialah seni bina di mana ianya menapai tahap yang mengagumkan. Seni bina bermaksud satu bidang seni untuk mendirikan bangunan, reka bentuk yang direka oleh manusia. Menurut Ibn Khaldun seni bina merupakan satu daripada asas tamadun yang paling utama yag merupakan lambang atau menifestasi daripada sesuatu tamadun. Oleh itu berdasarkan pencapaian ini maka keagungan dan ketinggian sesuatu tamadun itu dapat diukur. Buktinya daat dilihat melalui tamadun-tamadun purba yang agung. Pada zaman tersebut, seni bina yang bermutu dihasilkan dan masih lagi wujd waluun dalam bentuk yang telah usang dan hampir runtuh.
Aspek seni bina Islam yang terpenting yang harus diperhatikan iala seni bina masjid. Ini adalah kerana Islam telah meletakkan tempat ibadah sebagai cri terpenting sesebuah bandar. Ini dapat kita perhatikan daripada sirah Rasullah s.a.w tatkala baginda berhijrah ke Madinah, perkara yang pertama baginda lakukan ialah mencari tapak yang sesuai untuk membina masjid. Masjid pertama menjadi lanmbang kekuatan aqidah, kesatuan dan perpaduan umat Muslimin. Masjid pertama yang didirikan di Madinah ialah Masjid al-Nabawi yang digunakan oleh Rasulallah s.q.w sebagai pusat tarbiah (pendidikan) dan pentadbiran dalam menyusun strategi ekonomi, peradaban, perang dan sebagainya. Selari dengan perkembangan masa dan kepentinganya, masjid ekemudiannya dikembangkan dan diperindahkan dengan pelbagai unsur dekoratif-ornamentif berdasarkan latarbelakang budaya persekitaran umat Islam.
Seni bina masjid menjadi lambang keagungan tamadun berbanding dengan barat, kerana unsur-unsur ketamadunan yang dikembangkan di kota-kota raya Islam mementingkan nilai kerohanian dan pada masa yang sama pembangunan fizikal dankebendaan tidak dipinggirkan. Konsep penting dalamseni bina Islam ialah pencapaian iman dan amal, taqwa dan tawadhu', aman dan damai serta merendah hati kepada keagungan Allah s.w.t. Pengagunan dan erhiasan bukanlah menjadi matlamat seni bina Islam, tetapi kerana kreativiti dan inovasi mat, artis, seniman dan arkitek Muslim, ia menjadi suatu seni yang bernilai tinggi yang disepadukan bersama penggunaan corak, warna dan eka bentuk yang dibuat berdasarkan ajaran al-Quran. Kepentingan seni bina masjid di bandar silam Islam digambarkan dengan terdapat 241 buah masjid. Di Kaherah pada abad ke 15 masehi pula terdapat 88 buah masjid jamek (masjid uatama) dan 19 masjid kecil
Dari segi strktur dalaman dan luaran masjid, beberapa perkara dapat dilhat khususnya dari asek mimbar, arah kiblat, tempat kedudukan imam, ruang erkumpul, tang dan pilar utama, anjug dan serambi, mihrab, tempat berwuduk, menara tempat muazzin melaungkan azan, kubah dan lain-lain lagi. Perkaraperkara i merupakan karektiristik sebi bin a masjid  yang memperlihatkan keuhikannya yang tersendiri berbanding dengan seni-bina yang lain. Selain itu, seni bina masjid banyak mengetengahkan bentuk-bentuk blat yang merupakan bentuk yang paling sempurna yang mencerminan kelembutan dan kehalusan seolah-lah ia tidak berkesedahan.
Selain daripada masjid, seni bina Islam juga merangkumi bangunan-bangunan kediaman, kedai, jambatan, saluranair, rumah rehat, bilik mandi, perpustakaan, sekolah dan sebagainya. Seni bina mencirikan kepada lambang islam dan berlandaskan tauhid kepada Allah s.w.t serta menitikberatkan kepada reka bentuk islam banyak dipengaruhi oleh seni bina masjid seperti istana-istana, taj Mahal, kota-kota seperti kta Baghdad malah di Malaysia sendiri seerti bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan kerertapi tanah melayu, bangunan daya bumi dan pintu gerbang darul ehsan.


APRESIASI & KRITIKAN SENI

BENARKAH MONALISA TERCANTIK DIDUNIA?

Ada pelukis dan penulis berpendapat, potret Monalisa tidak mampu disaingi mana-mana potret sehingga kini. Senyuman, lirikan mata dan raut wajahnya menyembunyikan pelbagai perkara yang banyak pengertian. Demikianlah tingginya pujian diberikan kepada Monalisa yang dihasilkan oleh pelukis Leonardo Da Vinci, pelukis Itali yang hidup dalam kurun ke-15 Masihi.

Dari sudut manakah potret Monalisa itu dikatakan sebagai potret wanita tercantik di dunia?


Ramai pelukis dan penulis mengatakan bahawa senyum Monalisa yang cantik dan menawan, lebih-lebih lagi apabila dipandang dan ditenung lama-lama. Kata mereka senyuman Monalisa bagaikan senyuman orang hidup. Lirik matanya bagaikan hidup dan menawan kalbu. Jika ada orang yang menidakkan kecantikan potret Monalisa, maka dikatakan orang itu buta seni, tidak tahu menilai seni lukis.
Demikian pujian yang sering diberikan peminat seni lukis dan penulis terhadap potret Monalisa sejak beratus-ratus tahun lalu. Pujian itu tidak kurang juga diberikan penulis dan pelukis tanah air kita ini. Bahkan ada pelukis dan penulis kita yang menganggap potret Monalisa sebagai karya seni yang agung, bermutu tinggi dan tiada bandingannya.
Oleh kerana potret itu begitu terkenal, ada orang mengambil kesempatan mencetak dengan banyak dan acapkali dijual sebagai barang hiasan. Mereka menjadikan potret Monalisa sebagai barang dagangan. Begitu juga oleh kerana begitu taksub dan kagum, ada yang meletakkan potret Monalisa dalam bingkai gambar yang cantik dan mahal untuk dijadikan hiasan dalam rumah, sama ada di dalam bilik tetamu ataupun di bilik tidur. Ada yang sanggup membelinya dengan harga yang mahal walaupun mereka tahu lukisan itu(Cuma satu yang asli) tiruan atau fotokopi, bukan yang asal.
Potret Monalisa kini diletakkan di dalam muzium di negara kelahiran pelukisnya sendiri di Itali. Ia dijaga rapi dan diinsurankan pula dengan jutaan ringgit. Oleh sebab itulah harga potret Monalisa kian hari kian tinggi, mungkin mencecah hingga berpuluh-puluh juta ringgit.

Bagaimanakah potret Monalisa itu wujud?
Monalisa asalnya adalah dari nama orang yang benar-benar wujud. Dia lahir dan dibesarkan di sebuah bandar kecil bernama Florentine, Milan, Itali. Bandar ini terletak di kawasan berbukit-bukau dengan kegiatan ekonomi utamanya ketika itu ialah pertanian dan ternakan.
Beberapa tahun yang lepas, seorang profesor mendakwa dia menemui nota yang ditulis seorang pelukis terkenal, yang menyatakan bahawa potret Monalisa adalah hasil lukisan model terkenal bernama Isabela Gualandi, yang lahir dan dibesarkan di Naples, Itali pada tahun 1491. Isabela Gualandi dikatakan mempunyai hubungan dengan Giuilano de Medici saudara kandung Pope Leo ke-X.
Pendapat lain pula mengatakan bahawa Monalisa adalah isteri kedua saudagar Zanobi de Gloconda. Ada kemungkinan Zanobi de Gloconda ini dari kalangan orang Islam dengan berpandukan dua sebab. Pertama, nama Zanobi sendiri adalah seiras dengan nama orang Islam yang ramai terdapat di Itali, sama ada zaman Monalisa masih hidup, mahupun pada masa sekarang yang kebanyakannya sebagai ahli perniagaan. Kekuatan pemerintahan Islam di kawasan berkenaan pada zaman itu memang tidak dapat dinafikan. Keagungan Empayar Othmaniyah yang berpusat di Turki, berkembang hingga ke Balkan dan sekitar Itali serta di sepanyol amat terserlah.
Kemungkinan kedua, Zanobi dikatakan beragama Islam, kerana Monalisa ialah isteri keduanya. Amalan beristeri lebih daripada seorang (poligami) berlaku di kalangan orang Islam kerana Islam sajalah yang membenarkan umatnya berpoligami.
Zanobi de Glocondo menjemput Leonardo Da Vinci untuk melukis isteri keduanya itu yang dianggap perempuan tercantik di dunia pada zamannya. Ketika Leonardo belum terkenal sebagai pelukis, dia hanya pelukis amatur yang mendapat upah melukis secara kecil-kecilan. Hasil lukisannya dijual untuk menampung keperluan hidupnya yang tidak seberapa. Leonardo juga menjual lukisannya di kaki lima kedai kepada berminat.
Zanobi de Glocondo dan isterinya ketika itu sedang bersenang-senang di tempat peranginan di kaki pergunungan yang menjadi latar belakang potret Monalisa itu. Dia melihat Leonardo sedang melukis sesuatu, lantas dia meminta dilukis potret isterinya itu.
Lukisan potret Monalisa yang asal berukuran kira-kira 36 inci tinggi dan 20 inci lebar itu memperlihatkan keseluruhan muka, dengan rambut terurai menutupi sebahagian bahunya. Lehernya yang jinjang nampak jelas dengan sebahagian dadanya terbuka.
Sesungguhnya gambar ini amat berlawanan dengan nilai dan tradisi bukan sahaja masyarakat Islam, tetapi juga masyarakat Kristian pada masa itu yang masih kuat berpegang dengan nilai moral yang tinggi. Kebnyakan mereka berpakaian menutup aurat. Pada ketika itu semua wanita baik Islam mehupun bukan Islam, tidak berani mendedahkan aurat termasuk rambut.
Kini terdapat beberapa pelukis nakal cuba mengubah imej potret Monalisa dengan pelbagai wajah. Misalnya Graham Dean mengubah lukisan Monalisa yang asal dengan cara: Monalisa dilukis dan digambarkan dengan berbadan tikus, Monalisa berbadan gorilla dan lain-lain haiwan.
Terdapat juga Monalisa memakai seluar ‘Jean’ ketat dan ada potert Monalisa yang digambarkan dengan kaki terkangkang. Antara yang paling menarik ialah potret Monalisa dengan misai Hitler-tokoh orang yang paling kejam dan ganas dalam dunia menurut pandangan Barat.
Disamping itu, terdapat juga ahli perniagaan yang mengeksploitasi wajah dan nama Monalisa untuk melariskan barang jualan mereka seperti minyak wangi, seluar jean dan bedak
Bagaimanapun, mengapakah sehingga kini potret Monalisa begitu dikagumi manusia? Adakah dia wanita tercantik pada zaman itu jika dibandingkan dengan wanita lain? Atau banyak agenda yang perlu kita gali untuk mencari rahsia sebenarnya?